Sistem Kerajaan
Terdapat pelbagai jenis sistem kerajaan. Antaranya adalah kerajaan Persekutuan, kerajaan Kesatuan dan kerajaan Konfederasi. Kerajaan Persekutuan Negara – negara yang mengamalkan sistem kerajaan Persekutuan adalah Malaysia, India dan Australia. Dalam kerajaan Persekutuan, terdapat pembahagiaan kuasa antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri. Kerajaan Pusat mempunyai kuasa dalam hal – hal yang berkaitan tentang perkara – perkara umum dan hal – ehwal luar negara. Walau bagaimanapun, kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa mutlak. Isu – isu yang berkaitan tentang tanah, hutan dan pentadbiran negeri adalah berada di bawah kekuasaan kerajaan Negeri. Kedudukan kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri adalah seimbang dengan kerajaan Negeri mempunyai undang – undang yang tersendiri serta kuasa autonomi yang tertentu. Kerajaan Kesatuan Kerajaan Kesatuan merupakan gabungan kerajaan Negeri dengan kuasa pemerintahan diletakkan di bawah kuasa kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat mempunyai kuasa untuk membatalkan undang – undang yang diluluskan oleh kerajaan Negeri. Kerajaan Pusat berkuasa mutlak. Contoh – contoh kerajaan Kesatuan adalah Indonesia, New Zealand dan juga United Kingdom. Kerajaan Konfederasi Sebagai contoh kerajaan Konfederasi adalah Konfederasi Jerman Utara ( 1867-1871). Dalam kerajaan Konfederasi, kerajaan Negeri mempunyai kuasa pemerintahan yang lebih berbanding kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat kurang berfungsi, mempunyai kuasa pemerintahan yang terhad dan pentadbiran yang agak terbatas. Kerajaan Konfederasi tidak lagi wujud pada masa kini. Bentuk Negara Bentuk Negara meliputi monarki, republik, demokrasi dan autokrasi. Monarki Monarki merupakan sistem pemerintahan beraja. Raja merupakan pemerintahan dan pentadbir yang mempunyai kuasa eksekutif. Pentadbiran negara monarki dijalankan oleh kerabat raja. Takhta kerajaan diwarisi secara keturunan. Arab Saudi dan Brunei Darussalam merupakan contoh negara onarki. Republik Negara Republik merupakan negara yang diketuai oleh ketua negara. Ketua negara adalah rakyat biasa yang dipilih dan dilantik melalui pilihan raya berasaskan sistem demokrasi. Ketua negara sesebuah republik digelar Presiden. Tempoh jawatan Presiden dihadkan kepada empat hingga enam tahun dalam satu penggal seperti yang termaktub dalam perlembagaan sesebuah negara republik. Terdapat dua jenis sistem republik iaitu sistem Presiden dan sistem separa Presiden. Sistem Presiden adalah di mana Presiden merupakan ketua negara dan juga ketua kerajaan. Amerika Syarikat, Filipina dan Indonesia merupakan antara negara yang mengamalkan sistem Presiden dalam pentadbiran dan pemerintahan negara republic. Presiden mempunyai tanggungjawab dalam pentadbiran negara dan dipilih oleh rakyat secara terus melalui pilihan raya. Sistem separa Presiden adalah sistem di mana Presiden merupakan ketua negara walau bagaimanapun, beliau bukan ketua kerajaan. Ketua kerajaan adalah Perdana Menteri. Presiden dan Perdana Menteri melibatkan diri dalam pentadbiran dengan bidang kuasa yang berbeza. Di sesetengah negara yang mengamalkan sistem separa Presiden seperti Singapura, kedudukan Presiden adalah simbolik dan tidak melibatkan diri dalam pentadbiran negara. Negara seperti Singapura, Rusia dan Perancis mengamalkan sistem separa Presiden. Demokrasi Demokrasi adalah berdasarkan konsep “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat” Negara demokrasi ditadbir oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Kerajaan ini merupakan parti politik yang diwakili oleh wakil – wakil yang dipilih melalui pilihan raya. Sokongan majoriti rakyat terhadap sesuatu parti politik melalui pilihan raya umum membolehkan parti politik ini membentuk kerajaan. Negara yang mengamalkan demokrasi akan memastikan rakyat bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan menjaga hak asasi rakyat. Pilihan raya akan diadakan untuk memilih kerajaan. Proses pengundian diadakan secara sulit. Wakil – wakil daripada sesebuah parti politik yang mendapat undi terbanyak dikira memenangi sesebuah pilihan raya dan dapat membentuk kerajaan. Rakyat yang memenuhi syarat umur tertentu dibenarkan bertanding dan mengundi. Negara – negara seperti Malaysia dan Britain merupakan negara demokratik yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berpelembagaan . Dalam sistem raja berpelembagaan ini Raja atau Sultan ialah ketua negara. Walau bagaimanapun, kuasa raja dianggap sebagai simbolik. Negara – negara seperti Singapura, Filipina, India dan Amerika Syarikat pula merupakan negara – negara demokratik yang mengamalkan sistem Republik. Dalam sistem Republik, terdapat sistem Presiden seperti di Amerika Syarikat, Filipina dan Indonesia dan sistem separa Presiden seperti di Singapura, Rusia, Sri Lanka, Taiwan dan Peru. Autokrasi Autokrasi merupakan sesebuah pemerintahan di mana seseorang individu mempunyai kuasa mutlak dalam memerintah dan dipenuhi dengan paksaan, ugutan dan kekerasaan dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorKoleksi nota - nota bagi subjek Pengajian Am Archives
September 2024
Categories
All
|
Proudly powered by Weebly